PRS bakal tampilkan calon wanita pada PRN


KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan menampilkan seorang calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya Tan Sri Datuk Amar James Masing bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon wanita yang bakal ditampilkan itu sehingga tiba masa yang sesuai.

“Ada kemungkinan untuk PRS menampilkan calon wanita. Saya sendiri sebagai presiden parti menginginkan sekurang-kurangnya seorang calon wanita pada PRN 2016.

“Kerusi mana dan siapa beliau itu saya tidak dapat nyatakan dahulu. Tetapi walau siapa pun ditampilkan nanti, individu itu harus mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin,” katanya.

Masing berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Biro Bantuan Maklumat (BBM) Pergerakan Wanita PRS Pusat di ibu pejabat parti di sini, semalam.

Tambah Masing lagi, setakat ini PRS belum mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen daripada kalangan kaum wanita.

Satu-satunya wakil rakyat wanita PRS ialah Ketua Pergerakan Wanita PRS Senator Datuk Doris Sophia Brodie yang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Selain seorang calon wanita, PRS juga akan menampilkan calon muka baharu di kerusi Tamin bagi mengganti penyandang sedia ada Datuk Joseph Mauh Ikeh yang mengambil keputusan bersara.

“Tidak ramai kalangan ahli politik mahu bersara secara sukarela seperti Joseph Mauh dan ia harus dipuji.

“Sebagai ahli politik kita harus tahu di mana untuk berhenti kerana masih ramai mereka yang menunggu dalam barisan untuk menjadi pemimpin seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Masing yang juga Menteri Kanan bertegas tiada agenda tersembunyi dalam ‘Merger of Minds’ antara PRS dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Tegasnya, ‘Merger of Minds’ adalah untuk mempertahan prinsip Barisan Nasional (BN) dan ia tidak lebih atau tidak kurang daripada itu.

“Tiada salahnya untuk mempertahan prinsip BN dan jika kami PRS, SUPP dan SPDP termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mempertahankannya siapa lagi?

“Setiap ahli BN harus mempertahankan prinsip BN dan jika anda tidak, anda boleh keluar daripada BN,” tegasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget