Jika semua baik, mengapa ada didakwa sabotaj sistem kewangan, soal Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan ekonomi negara berada dalam keadaan baik sedangkan dalam masa yang sama terdapat individu ditangkap atas alasan mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan, jika ekonomi negara berada dalam keadaan baik, mengapa terdapat individu yang ditahan Putrajaya kerana "mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara".
Bekas perdana menteri itu berkata demikian mengulas laporan dalam akhbar berkaitan kerajaan yang menyatakan negara ini tidak menuju ke arah satu krisis kewangan.

"Lapan orang terkemuka, termasuk perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak), memberitahu kita, semuanya dalam keadaan baik.

"Sekiranya segalanya dalam keadaan baik, mengapa timbul keperluan menangkap orang kerana mensabotaj sistem perbankan dan kewangan di negara ini?

"Jika mereka mensabotaj, maka sesungguhnya, perbankan dan kewangan Malaysia tidak berada dalam keadaan menjadi baik. Ia akan jadi tidak berfungsi," tulis beliau dalam posting terbaru di blognya hari ini.

Beliau merujuk kepada bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang, yang baru-baru ini didakwa atas pertuduhan cuba mensabotaj sistem perbankan dan kewangan Malaysia.

Tetapi, adakah benar semuanya baik-baik sahaja, Dr Mahathir bertanya lagi.

"Tak mungkin!

"Bank-bank dan sistem kewangan mungkin baik, tetapi ada indikator lain menunjukkan ekonomi tidak dalam keadaan baik."

Sebagai contoh, katanya, ringgit kini susut kepada RM4.30 berbanding dolar AS.

"Itu satu penurunan yang besar dari segi nilai dan boleh menjejaskan perniagaan import atau pinjaman yang dibuat dalam AS$."

Pada masa sama, beliau berkata, pasaran saham jatuh dengan kerugian besar dalam permodalan pasaran.

"Sekali lagi, ini tidak baik untuk ekonomi."

Dr Mahathir berkata, pertumbuhan ekonomi negara juga ketinggalan di belakang Indonesia dan Filipina.

"Ini tidak normal. Dulu kita tinggalkan mereka jauh di belakang.

"Semua orang mengadu tentang kenaikan kos sara hidup – kadar tol naik, harga beras naik, GST, kos pengeluaran dan perkhidmatan, pengangkutan, gaji kakitangan kerajaan, pengangguran graduan, dan lain-lain. Semuanya tinggi, menurunkan kuasa membeli semua orang."

Dr Mahathir menegaskan, kelihatan seperti terdapat kehilangan keyakinan terhadap kerajaan yang dicetuskan oleh skandal 1Malaysia Development Berhad.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, terdapat juga "ketidakupayaan untuk membayar kadar faedah hutang, kehilangan wang, wang tunai di akaun peribadi PM, kehilangan seterusnya, ketidakmampuan menjelaskan mengenai wang AS$100 juta, pemberian wang dalam Bajet 2016, sumber negara yang makin mengecut, penggunaan dana KWSP dan KWAP yang dipertikaikan, FDI yang lemah, dan lain-lain."

Katanya: "Tidak betullah semuanya dalam keadaan baik. Siapakah yang bertanggungjawab? Takkanlah nak kata tiada pihak yang bertanggungjawab!"

Pastinya, kata Dr Mahathir, orang yang bertanggungjawab ialah mereka yang menguruskan ekonomi dan negara, yang mempunyai kuasa dan pengaruh dan yang kata-kata dan perbuatan mereka boleh memberi kesan kepada ekonomi.

Katanya, di kebanyakan negara, pemimpin akan meletakkan jawatan apabila mereka gagal, dasar-dasar mereka gagal dan penawar yang diberikan mereka gagal.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget