Harus lebih serius hapus ancaman pengganas

Kerajaan Malaysia dan Filipina harus mempunyai kesungguhan tinggi memerangi kumpulan Abu Sayyaf


KUCHING: Kerajaan Malaysia mesti bekerjasama lebih serius dengan Kerajaan Filipina untuk menghapuskan ancaman pengganas di wilayah ini.

Menteri Kanan Negeri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata sekiranya kedua-dua negara tidak mempunyai ke-sungguhan tinggi memerangi kumpulan pengganas tersebut, mereka akan terus menggunakan manusia sebagai ‘komoditi perdagangan’.

“Memenggal Bernard Then adalah perbuatan yang sangat kejam… Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina mesti bekerjasama secara serius untuk menghapuskan ancaman pengganas di wilayah ini,” katanya.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata tindakan kumpulan itu bukan berunsurkan politik atau agama tetapi ekonomi semata-mata.

Menurutnya wang merupakan agenda kumpulan militan yang menggelar diri sebagai Abu Sayyaf dengan menggunakan Islam untuk mewajar-kan perbuatan terkutuk dan kejam itu.

“Saya bersimpati dengan penganut Islam sejati kerana mereka telah diheret ke dalam perbuatan kejam Abu Sayyaf atas nama memperjuangkan hak keagamaan di Filipina,”ujarnya.

Masing memberitahu semasa Bernard diculik, beliau cuba membantu keluarganya tetapi nampaknya usaha itu gagal.

“Saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada Bernard dan keluarganya. Semoga rohnya dirahmati Tuhan,” katanya sambil memberitahu beliau berjumpa dengan abang mangsa di Kuala Lumpur sejurus insiden itu berlaku.

Kelmarin akhbar Strait Times Singapura melaporkan, Bernard Then Ted Fen, 39, jurutera dari Sarawak yang dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King Sandakan, Sabah, Mei lalu dilaporkan dibunuh kira-kira jam 4 petang.

Mangsa dilaporkan dipenggal di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di Selatan Filipina.

Akhbar itu turut memetik Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu Brigedier Jeneral Alan Arrijado, berkata mangsa dibunuh selepas gagal memenuhi permintaan kumpulan terbabit berhubung permintaan wang tebusan.

Menurut laporan itu juga, usaha kini digerakkan untuk mengesan mayat mangsa.

Pada 8 November lalu, seorang lagi mangsa culik warga Malaysia Thien Nyuk Fun, 50, dibebaskan selepas hampir enam bulan dalam tawanan kumpulan penculik.

Dia dibebaskan kira-kira jam 10 malam dan tiba di Sandakan jam 7 pagi hari keesokannya dengan menaiki bot dari Kepulauan Filipina.

Nyuk Fun dan Bernard dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata dari Restoran Ocean King, pada 14 Mei lalu jam 7.45 malam.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget