Dihina ‘balik Tongsan’, dijawab: Malaysia tanah tumpah darah saya!


KUALA LUMPUR 6 NOV: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin menyifatkan kerana kebanyakan pemimpin Umno BN sarat dengan minda perkauman hingga tergamak mencela kaum lain dengan ungkapan penghinaan.

“Saya kecewa dan sedih atas sikap Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menegur dengan perkataan yang tidak wajar, stereotaip dan berbaur perkauman.

“Tidakkah ada perkataan lain yang lebih baik daripada menggunakan elemen perkauman? Malaysia tanah tumpah darah saya! Siapa dia untuk suruh saya balik Tongsan!” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sidang Parlimen Rabu lalu kecoh berikutan pelakuan buruk Abdul Azeez menggunakan perkataan ‘balik Tongsan’ (China) terhadap Jimmy ketika perbahasan sebelum menarik balik ungkapan itu atas arahan speaker.

Ini bukan pertama kali ungkapan penghinaan itu dihambur terhadap pemimpin pembangkang keturunan Cina terutama DAP, malah turut berlaku terhadap isteri Ahli Parlimen Tanjung dari DAP, Ng Wei Aik tahun lalu.

Pada 21 Julai tahun lalu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii menggesa isteri seorang wakil rakyat DAP supaya ‘balik tongsan’ melalui twitter ketika berbalah mengenai Tragedi MH17.

Sungguhpun Abdul Azeez sudah menarik balik perkataan itu, Jimmy berkata, kejadian berkenaan mencerminkan sikap dan keperibadian pemimpin Umno BN yang ‘menyedihkan’.

“Negara sudah mencapai kemerdekaan menghampiri enam dekad. Kerajaan masih gagal memupuk sikap saling menghormati melangkaui batas kaum, agama mahupun daerah,” katanya.

Beliau turut mempersoal peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional yang diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, dalam menyemai nilai murni dalam masyarakat majmuk.

“Jika kerajaan tidak tegas menangani isu perpaduan, kita tidak mampu bergerak menuju cita-cita bangsa Malaysia. Perjalanan masih jauh dan berliku,” katanya dan menyatakan di Sabah, masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama hidup harmoni.

“Saya khuatir, dengan adanya pemimpin UMNO yang tebal dengan perkauman, gejala tidak sihat itu akan menular,” kata Pengerusi DAP Sabah itu.-Roketkini
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget