Debat 1MDB perlu diteruskan, rakyat nak tahu


SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat debat berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dengan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli perlu diteruskan.

Namun Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, adalah lebih baik sekiranya debat itu dilakukan selepas siasatan terhadap 1MDB selesai.

"Bagi saya, debat ini patut diteruskan dan Arul boleh juga berdebat dengan sesiapa. Jika Rafizi nak berdebat pun...tapi bagi saya lebih baik Tony Pua (berdepan Arul). Jangan halang dia (Tony Pua) nak berdebat.

"Walaupun saya setuju debat diteruskan untuk merungkai isu-isu yang ada tapi disebabkan siasatan ke atas 1MDB masih berjalan, sepatutnya tidak sesuailah untuk berdebat. Biar kes itu diselesaikan dahulu baru berdebat," katanya kepada Sinar Online.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua sebelum ini mencabar Arul untuk berdebat namun Speaker Dewan Rakyat memutuskan beliau tidak boleh berdebat secara terbuka mengenai 1MDB kerana statusnya sebagai ahli PAC yang sedang menyiasat syarikat itu.

Sehubungan itu, Rafizi diumumkan Pakatan Harapan sebagai calon pengganti namun Arul mengeluarkan kenyataan pada hari sama menolak untuk berdebat dengan alasan menghormati keputusan Speaker.

Mengulas lanjut, Azizuddin berkata, debat itu wajar diteruskan kerana rakyat mahu mengetahui isu yang berkaitan 1MDB.

"Tapi jika nak berdebat, saya rasa elok juga sebab rakyat nak tahu perkara itu. Namun, sekiranya tiada halangan, Speaker pun tak halang, siapa-siapa pun tak halang, silakan debat.

"Cuma pada pandangan saya, lebih baik tunggu hingga keputusan siasatan (PAC). Selepas itu, debatlah, jika ada yang tidak setuju dengan keputusan dan sebagainya," katanya.

Sementara, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat menyifatkan tindakan Arul menolak tawaran debat itu tepat bagi mengelakkan terlibat dengan permainan politik Pakatan Harapan.

"Keputusan Arul ini tepat kerana calon yang memanggil beliau berdebat sebelum ini bukan Rafizi tapi Tony Pua. Jadi, kenapa tukar kepada Rafizi? Jika Arul masih lagi meneruskan debat, seolah-olah dia dipermainkan Pakatan (Harapan) kerana yang ajak berdebat lain tapi apabila dah dipersetujui, mereka tukar pendebat.

"Apabila pendebat ditukar, mereka menyalahkan Arul pula. Ini satu tindakan provokasi Pakatan dan penuh politiking terhadap 1MDB yang dibuat Pakatan, sama ada mereka (Pakatan) sebenarnya jujur untuk berdebat atau cuma ingin menghangatkan isu 1MDB sahaja," katanya.

Katanya, sekiranya Arul menerima tawaran tersebut, beliau seolah-olah menerima sahaja perlakuan Pakatan Harapan.

"Dan rakyat masih melihat 1MDB bersalah, sedangkan ini ialah ekpresi ketidakjujuran Pakatan untuk berdebat," kata Samsu.

Namun beliau tidak menolak kewajaran meneruskan debat itu malah melihat pentas debat itu nanti sebagai 'pencuci' kepada imej 1MDB.

"Memanglah (wajar diteruskan) kerana ini peluang 1MDB menjelaskan kepada rakyat kejujuran 1MDB. Jadi, untuk 1MDB berdebat itu, satu publisiti.

"Beliau (Arul) boleh menggunakan pentas ini untuk membersihkan kembali imej 1MDB dan apabila imej 1MDB bersih, kemungkinan kestabilan mata wang kita akan berlaku. Jadi, kenapa tidak 1MDB ambil peluang ini untuk berdebat?," katanya.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget