'DAP sasar 8 kerusi kerana kurang yakin dengan PAS'


Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad menolak hujah bahawa rancangan DAP untuk bertanding di lapan kerusi PAS di Selangor mencerminkan kurangnya keyakinan terhadap rakan komponen baru mereka.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata DAP telah hilang keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS.

Khalid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali yang mendakwa DAP berbuat demikian kerana tidak yakin bahawa parti serpihan PAS AMANAH mampu mempertahankan kerusi berkenaan.

“Kalau ingin menilai kenyataan DAP secara serius, saya tidak akan mengatakan bahawa ia menunjukkan kurangnya keyakinan DAP terhadap kemampuan AMANAH. Sebaliknya saya akan katakan bahawa DAP telah hilang keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS!

“Ini adalah kerana semua kerusi yang disebut adalah kerusi yang telah dimenangi PAS pada 2013. Tetapi DAP sekarang menganggap bahawa PAS tidak lagi mampu mempertahankan kerusi-kerusi berkenaan.

“Ini adalah kerana DAP melihat bahawa PAS, melalui kenyataan dan pendiriannya yang mutakhir, telah kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu,” katanya dalam tulisannya di blog AMANAH.

Beliau juga mengingatkan PAS tentang apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004, di mana parti itu tewas di semua kerusi DUN yang ditandingi di Selangor.

“Sikap bersendirian PAS hari ini, memungkinkan kembali senario 2004, di mana PAS dan DAP tidak ada persefahaman dalam pilihanraya.

“Oleh itu, sekiranya PAS yang bertanding pada PRU 14, DAP yakin bahawa kerusi-kerusi ini akan jatuh pada BN.

“Untuk elak ia dari berlaku, maka DAP menawarkan dirinya sebagai parti yang akan bertanding di kerusi-kerusi tersebut. Itu pun disebut, sekiranya dipersetujui Pakatan Harapan,” katanya.

Minggu lalu, Ketua DAP Selangor Tony Pua mendedahkan bahawa parti itu mula menggerakkan jentera sebagai asas untuk bertanding di lapan kerusi negeri.

"Ini adalah lapan kerusi yang kita percaya DAP mempunyai pengaruh besar dan boleh menang," kata beliau sambil menambah bahawa perkara itu akan dibincangkan bersama di kalangan parti-parti Pakatan.

Lapan kerusi yang disasarkan DAP itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jeras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.-Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget