DAP mahu rampas kerusi luar bandar

Perkara utama dititikberatkan di kawasan luar bandar adalah kebajikan sosial rakyat: Lim


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) memberi jaminan akan merampas kerusi Barisan Nasional (BN) di kawasan luar bandar negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus menafikan majoriti dua pertiga BN di kawasan itu.

Ini kerana, menurut Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, perkara utama yang dititikberatkan di kawasan luar bandar ialah kebajikan sosial rakyat yang tinggal di sana.

“Umum tahu, kemudahan asas dan kebajikan sosial menjadi teras dan kepentingan bagi setiap masyarakat. Rakyat luar bandar di negeri ini telah diabaikan selama 52 tahun, tanpa ada bekalan elektrik dan air.

“Bagaimana dalam tempoh selama itu (52 tahun), penduduk boleh hidup dengan selesa tanpa dua kemudahan asas ini (elektrik dan air)? Memalukanlah. Ia memang tidak boleh diterima,” katanya.

Tegasnya lagi, sekiranya pembangkang boleh menyediakan bekalan elektrik dan air di luar bandar, sedangkan sepanjang kerajaan BN memerintah selama 52 tahun tetapi gagal memberi kemudahan itu kepada penduduk, itu bermakna, pembangkang juga boleh memerintah Sarawak.

“Impian Sarawak DAP dapat menyediakan bekalan elektrik dan air kepada penduduk luar bandar. Apa yang kami lakukan BN tidak dapat lakukan. Kalau begitu, biar kami ambil alih mereka untuk menjadi kerajaan seterusnya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen DAP Sarawak Ke-17 di Crown Square di sini, semalam.

Hadir sama pada konvensyen itu ialah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Ketika diminta mengulas adakah DAP Sarawak menyasarkan untuk menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRN akan datang, Lim memberitahu, DAP akan melakukan yang terbaik untuk tujuan itu.

“BN bukan penyelesaian tetapi sebahagian daripada masalah. Sekiranya kamu (rakyat) berterusan menyokong kerajaan BN, pasti tidak akan wujud penambahbaikan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga memberi jaminan DAP tidak akan membantah sekiranya Sarawak mempunyai Ketua Menteri daripada kaum Dayak memandangkan Dayak merupakan rakyat majoriti di negeri ini.

“Usah persoalkan isu kaum, Dayak merupakan rakyat majoriti Sarawak dan mereka seharusnya diberi peluang untuk merasai hak mereka dan pastinya kami tidak ada bantahan untuk perkara itu,” katanya.

Pada konvensyen itu juga, DAP Sarawak turut melancarkan lagu sempena kempen PRN yang bertajuk ‘Light’ dalam versi bahasa Cina di mana ia turut akan dilancarkan dalam bahasa Melayu, Iban dan Inggeris dalam masa terdekat.

Difahamkan, lebih 100 delegasi dari seluruh Sarawak menyertai konvensyen sehari itu yang turut menyaksikan senarai barisan pemimpin baharu parti itu.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget