Anak remaja Azmin Ali dipanggil polis kerana terlibat Bersih

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dalam akaun Twitternya petang ini, menyatakan polis meminta anaknya hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi esok, walaupun anaknya akan mula menghadapi peperiksaan akhir tahun pada hari yang sama
Anak lelaki Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang berusia 15 tahun dipanggil pihak polis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penglibatannya dalam perhimpunan Bersih.
Azmin mengumumkan perkara itu menerusi akaun Twitternya petang ini, menyatakan polis meminta anaknya hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi esok, walaupun anaknya akan mula menghadapi peperiksaan akhir tahun pada hari yang sama.

"Polis keluar Notis Seksyen 111 untuk mengarahkan anak saya berumur 15 tahun untuk dirakam keterangan kerana perhimpunan aman Bersih!," katanya dipercayai merujuk peruntukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

"Anak kecil seawal 15 tahun sudah dizalimi pasti akan bangkit dan melawan kezaliman dan kemungkaran Umno. Syukur anak saya Basheer berani," beliau menulis tweet melalui akaun Twitter rasminya @AzminAli petang ini.

Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu tidak menyatakan perhimpunan Bersih yang mana anaknya sebelum ini terlibat.

Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 mengadakan 4 perhimpunan sejak 2007, dengan yang terkini selama 34 jam dari 29 hingga 30 Ogos baru-baru ini, menuntut pembaharuan institusi dan memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak supaya berundur susulan dakwaan skandal kewangan yang melibatkan perdana menteri itu.

Ia berkaitan dengan wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun bank peribadinya, sebahagian besar daripadanya dimasukkan menjelang pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013.

Berikutan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang wang itu merupakan "sumbangan politik," PKR mengambil tindakan undang-undang terhadap Najib kerana melanggar undang-undang pilihan raya.

Kira-kira sejam selepas Azmin menulis tweet itu, anaknya Basheer menulis tweet yang berbunyi: "Berani kerana benar, takut kerana salah."

Manakala, kira-kira jam 7.32 petang, Azmin menulis tweet: "Basheer, please focus on your exam" (Basheer, tolong tumpukan pada peperiksaan kamu).

Sementara itu, Bernama melaporkan malam ini, Azmin berkata anaknya itu akan menduduki semua kertas peperiksaan akhirnya terlebih dahulu sebelum memberi sebarang keterangan kepada pihak polis berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bersih.

Beliau berkata anak bongsunya itu akan menghadapi peperiksaan mulai esok sehingga Jumaat.

"Peguam saya memberitahu polis, anak saya akan menduduki peperiksaan akhir itu. Saya akan pastikan anak saya selesai menjalani peperiksaan itu terlebih dahulu sebelum memberi sebarang keterangan," katanya selepas menghadiri Pesta Deepavali, di Klang.

Bagaimanapun, katanya beliau sedang menunggu nasihat peguamnya untuk tindakan selanjutnya. 

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget